Siti menang Album Terbaik AIM14
Oleh Zubir Mohd Yunus
KUALA LUMPUR: Keunggulan penyanyi dan penghibur terkenal Datuk Siti Nurhaliza sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila album Transkripsi dinobatkan sebagai Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-14 (AIM14) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.
Satu lagi kategori utama yang menjadi perhatian dalam AIM14 ialah Lagu Terbaik yang menyaksikan pihak juri sebulat suara memilih lagu Juwita...Citra Terindah ciptaan M Nasir, sekali gus mengetepikan dua calon lain iaitu Audi Mok dan Ross Ariffin.
Album Sean Ghazi, Semalam yang menerima lapan pencalonan dalam pelbagai kategori, tercicir daripada senarai Album Pop Terbaik, tetapi memenangi kategori Artis Baru Terbaik.
Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) buat sekian kalinya berpihak kepada Jaclyn Victor yang menyerlah menerusi album Inilah...Jac.
Kegemilangan AIM14 yang disiarkan secara langsung oleh ntv7 bertambah meriah dengan persembahan hebat daripada artis popular tanah air seperti Anuar Zain, M Nasir, Mawi, Rabbani, Ramli Sarip, Reshmonu, Sean Ghazi, Sofaz dan kumpulan popular dari Indonesia, Samsons.
Penganjur AIM14 ialah Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM).
Sementara itu, kumpulan Samsons mengungguli Album Indonesia Terbaik menerusi Naluri Lelaki, Raihan menang Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album, manakala Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu: Semalam dimenangi Sean Ghazi.
INFO
Artis Baru Terbaik – Sean Ghazi
Persembahan Vokal Terbaik Album (Lelaki) – Reshmonu
Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) – Jaclyn Victor
Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album – Raihan
Kulit Album Terbaik - elevision
Video Muzik Terbaik – Lost in America
Album Pop Etnik Terbaik – Syahda Berdendang - Syura
Album Nasyid Terbaik – Bahagia Berkasih - Ahmadi Hassan
Album Pop Rock Terbaik – Sang Pencinta - M Nasir
Album Hard Rock Terbaik – Gothik Malam Edan - Search
Album Pop Terbaik – Transkripsi - Siti Nurhaliza
Album Inggeris Tempatan Baru Terbaik – Dragon Red
Album Inggeris Tempatan Terbaik – Television - Pete Teo
Album Indonesia Terbaik– Naluri Lelaki - Samsons
Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu – Semalam - Sean Ghazi
Lagu Terbaik – Juwita...Citra Terindah - M Nasir
Album Terbaik – Transkripsi - Siti Nurhaliza
yes2..siti menang album terbaik...cayalah!!!!x sia2 dgr lgu die ari2:)